Tuesday 10 November 2015

ZAKAT PERNIAGAAN


Islam sangat memuliakan golongan peniaga, orang yang mencari nafkah hidupnya dengan perdagangan atau perniagaan. Oleh itu, untuk kesejahteraan mereka, Islam telah menyediakan satu bentuk penyucian bagi mereka, yakni membersihkan harta dan jiwa dengan berzakat.

Zakat pada hakikatnya membersihkan dari elemen haram (kerana pencampuran hak manusia lain di dalam harta tersebut) dan pada masa yang sama menyuburkan atau membersihkan harta dan perniagaan. Zakat juga adalah pembersihan jiwa dan rohani untuk lebih dekat dengan Allah SWT. Firman Allah SWT: Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya pada jalan kebaikan dan bertakwa, serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami (Allah) akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta dia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami (Allah) akan memudahkannya untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.
(QS. Al-Lail : 5-10)

Sahabat Nabi SAW menyatakan: " Dahulu Nabi Muhammad SAW memerintahkan kepada kami untuk mengeluarkan zakat terhadap harta kekayaan yang disiapkan untuk dijual ". (riwayat Abu Daud dan Baihaqi)Oleh itu, zakat perniagaan adalah zakat yang diwajibkan baginya zakat atas segala jenis barang-barang yang diniagakan bagi yang mendapat keuntungan. Barang-barang yang diniagakan tersebut baik yang berpunca dari hasil pertanian, haiwan ternakan, emas, perak, perikanan, ladang dan lain-lain.

Zakat perniagaan dikenakan untuk semua bentuk perniagaan baik secara inividu atau segera dengan peniaga Islam dan bukan Islam, koperasi, perniagaan saham dan lain-lain. Oleh itu, sangat luas ruang lingkup zakat perniagaan ini, yang perlu kita fahami bahawa barang yang dijualbeli tersebut halal di sisi syariah dan diniatkan untuk berniaga kerana Allah SWT. Misalnya, jika seseorang berniaga emas dan perak, maka ia dikenakan zakat perniagaan dan bukannya zakat emas dan zakat perak. Jika seseorang menternak lembu dan kambing untuk diniagakan , maka ia dikenakan zakat perniagaan dan bukannya zakat ternakan.

Berdasarkan hadis di atas juga, Rasulullah SAW berpesan kepada sahabat-sahabatnya untuk menzakatkan harta perniagaan yang disiapkan untuk dijual , maka zakat perniagaan tidak hanya dikenakan apabila sesebuah perniagaan itu menghasilkan keuntungan. Apabila perniagaan itu rugi, tetapi harta atau modalnya masih mencapai nisab, maka perniagaan itu masih wajib dizakatkan.Oleh kerana itu, apabila sebuah perniagaan sudah mencapai haul satu tahun, maka si peniaga perlu mengira jumlah asetnya ditambah dengan keuntungan dan dikurangkan dengan hutang-piutangnya dengan orang lain. Jika keseluruhan harta perniagaan tersebut mencapai atau melebihi nisab, maka perlu dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 %. Tujuan penulisan makalah ini adalah sebagai berikut: :


I. Untuk mengetahui definisi dari zakat perniagaan.

II. Untuk mengetahui pengakuan ayat al-Qur'an dan hadis tentang zakat perniagaan

III. Untuk mengetahui bagaimana ruang lingkup zakat perniagaan dalam Islam.

IV. Mengetahui bagaimana cara mengira zakat perniagaan, niasab dan haulnya.


Dalam makalah ini akan dibahas pelbagai masalah diantaranya :

a. Apa definisi zakat perniagaan ?

b. Bagaimana cara mengira zakat perniagaan ?

c. Bagaimana ruang lingkup mengenai zakat perniagaan ?


Adapun kaedah penulisan makalah ini adalah kaedah kualitatif dan kuantitatif . Penulis menggunakan sumber-sumber yang terdapat di perpustakaan ,internet, blog dan buku-buku, jurnal yang kemudian penulis bandingkan dengan teori-teori hasil dapatan dalam kajian artikel sebelum ini. Terdapat pembahasan dalam pergertian zakat perniagan. Secara etimologi, zakat merupakan kata dasar (lafaz mashdar) dari kata zaka yang bererti suci, barkah, tumbuh, dan terpuji yang semua arti itu sangat popular dalam penterjemahan baik Al Quran mahupun Hadis. Sedangkan zakat secara termologi adalah sejumlah harta tertentu yang diwajibkan Allah diserahkan kepada orang-orang yang berhak.

Jumlah yang dikeluarkan dari kekayaan itu disebut zakat kerana yang dikeluarkan itu menambah banyak, membuat lebih bermakna dan melindungi kekayaan itu dari kebinasaan. Terkadang kata "zakat" disebutkan dengan menggunakan kata lain, seperti:

1. Kata "Infaq" dalam firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 34:

"Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya sebahagian besar dari orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benarbenar memakan harta orang dengan jalan batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) dari jalan Allah. dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, Maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih".

2. Kata "Shodaqoh" dalam firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 103:

"Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka . Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. dan Allah Maha mendengar lagi Maha mengetahui".

3. Haq.

"Dan dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan".

Sedangkan perniagaan menurut istilah fiqh adalah mentasarufkan (memproses) harta dengan cara tukar menukar (jual-beli) untuk memperoleh keuntungan dan disertai dengan niat berdagang . Istilah tijarah sebenarnya tidak hanya diidentikkan dengan istilah niaga atau perdagangan atau jual beli saja , namun ia juga merangkumi setiap transaksi (akad) yang menggunakan system pertukaran dengan maksud mencari keuntungan dengan disertai niat.

Harta yang menjadi sarana tijarah ini disebut dengan harta tijarah atau harta perniagaan. Harta tijarah atau harta perniagaan adalah harta yang dimiliki dengan akad tukar menukar dengan tujuan untuk memperoleh keuntungan dan harta yang dimilikinya itu harus merupakan hasil usaha sendiri. Oleh yang demikian termasuk kategori tijarah adalah jual beli (barangan atau perkhidmatan), sewa menyewa, akad bagi hasil, perseroan atau syirkah dan setiap transaksi yang didalamnya terdapat tukar menukar.

 

DASAR HUKUM ZAKAT PERNIAGAAN

Hukum melaksanakan zakat perniagaan ini adalah wajib menurut imam empat mazhab. Sedangkan menurut Imamiah adalah sunnah. Adapun dasar hukum zakat perniagaan ini adalah terdapat dalam beberapa firman Allah SWT sebagai berikut dalam surah At Taubah ayat 103: "Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdoalah untuk mereka . Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka, dan Allah Maha mendengar lagi Maha mengetahui".

Dalam surah Al-Baqarah ayat 267: "Hai orang-orang yang beriman, infakkanlah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memincingkan mata (enggan) terhadapnya. dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji".

Dalam surah Adz-Dzariyaat ayat 19: "Dan pada harta benda mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta". Hukum wajib dalam melaksanakan zakat perniagaan ini tidak sampai pada makam atau tingkatan mengkafirkan seseorang apabila ditinggalkan, kerana hukum mengeluarkan zakat perniagaan ini masih terdapat khilaf fi wujubihi atau perselisihan pendapat diantara ulama dalam mewajibkan zakat perniagaan ini. Bahkan terdapat segolongan ulama yang sama sekali tidak mewajibkannya.

Setiap transaksi yang menggunakan sistem pertukaran dan diniatkan untuk berdagang dan telah memenuhi syarat-syarat zakat perniagaan wajib dikeluarkan zakat tijarahnya. Sedangkan untuk transaksi yang tidak menggunakan sistem pertukaran atau tidak pula disertai niat untuk berdagang maka tidak wajib dikeluarkan zakatnya. Seperti harta warisan, geran dan lain sebagainya.


Syarat-Syarat wajib Zakat:

1. Muslim: Hanya bahagian pemilikan orang Islam sahaja yang wajib dizakatkan.

2. Harta Halal: Harta yang halal saja yang diwajibkan Zakat.

3. Cukup Haul: Haul dikira daripada awal perniagaan sehingga satu tahun mengikut kalendar Hijrah (355 hari) .

4. Cukup Nisab: Nisab harta perniagaan dan dinilaikan berdasarkan harga pasaran 85 gram emas atau 595 gram perak.

5. Milik Sempurna (al - Milk at - Tam): Zakat diwajibkan terhadap harta perniagaan yang mempunyai status milik sempurna dari segi pemilikan fizikal (hiyazah) dan berkuasa mengurus tadbir (tasaruff) harta tersebut.

6. Harta Produktif (an - Nama'): Harta yang diwajibkan Zakat mestilah yang boleh berkembang atau berpotensi untuk berkembang.

7. Niat Perniagaan (Urud at - tijarah): Niat perniagaan mesti dilakukan apabila harta tersebut bertujuan diperniagakan untuk memperolehi keuntungan.


Bagaimana peniaga mengeluarkan zakatnya?

1. Seorang peniaga muslim menentukan masa tahunan untuk membayar zakat. Pada saat itu ia mengira modal yang disediakan untuk dagangan, iaitu barang-barang yang disediakan untuk jualan, dengan harga jual itu waktu mengeluarkan zakat, ditambah dengan wang cash yang ada, wang yang masih ada di tangan orang lain. Kemudian dikurangkan hutang yang menjadi kewajibannya, lalu dari yang tersisa itu dikeluarkan 2.5%.

2. Perlu ditegaskan di sini, bahawa bangunan, perabot yang tidak disiapkan untuk jualan tidak dimasukkan dalam pengiraan aset yang dikeluarkan zakatnya. Sedangkan bungkus yang dijual beserta isinya, maka dikategorikan sebagai dagangan dan dikira nilainya .

3. Peniaga itu mengeluarkan dagangannya berupa wang. Demikian pendapat Asy-Syafi'i dan Imam Ahmad. Sedangkan mazhab Hanafi membenarkan pengeluaran zakatnya berupa barang dagangan yang ada, namun yang utama menurutnya jika dikeluarkan dalam bentuk wang, kerana dianggap lebih bermanfaat bagi fakir miskin.


NISAB DAN KADAR ZAKAT PERNIAGAAN

Aset perniagaan sebagaimana yang disebut oleh para ulama fiqh adalah aset yang dipersiapkan untuk jual beli, mencari keuntungan seperti peralatan, perabot, pakaian, makanan, perhiasan, permata, haiwan, tanaman, bangunan dan sebagainya. Dalil yang mewajibkannya Zakat perniagaan hukumnya wajib berdasarkan dalil-dalil berikut:

Firman Allah swt., "Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik." (Al-Baqarah: 267). erti "kasb" di sini adalah perdagangan seperti yang diungkapkan oleh banyak ahli tafsir, di antaranya Al - Hasan, Mujahid, Ath Thabariy, dan Ar Razi. Demikian juga ayat-ayat yang mewajibkan zakat harta kekayaan secara umum, termasuk di dalamnya harta perniagaan. Tidak ada satupun dalil yang mengecualikannya.

Dari Samurah bin Jundub berkata, "Rasulullah saw. menyuruh kita untuk mengeluarkan zakat dari segala sesuatu yang kami sediakan untuk dijual." (Abu Daud, Ad Daruquthniy, Ibnu Abdil Barr). Umar bin Khaththab r.a. mengambil zakat dari harta perniagaan, dan tidak seorangpun sahabat yang menolaknya. Pendapat seperti ini diriwayatkan pula dari Ibnu Abbas , Ibnu Umar, Umar bin Abdul Aziz. Para ulama tabi'in juga telah bersepakat dalam hal ini. Ibnul Mundzir dan Abu Ubaid menyatakan telah berlaku ijma' dalam hal ini. Kewajipan zakat perniagaan juga menjadi pendapat empat mazhab, dan tidak ada yang berbeza pendapat kecuali ulama Zhahiriyah, dan Syiah Imamiyah yang menyatakan bahawa zakat perniagaan hukumnya sunnah.

Ketentuan zakat perdagangan:

1. Cukup 1 tahun (haul), Pendapat Abu Hanifah lebih kuat dan realistik iaitu dengan menggabungkan semua harta perdagangan pada awal dan akhir dalam satu tahun kemudian dikeluarkan zakatnya .

2. Nisab zakat perdagangan sama dengan nisab emas iaitu sebanyak 85 gram emas atau perak 595 gram.

3. Kadarnya zakat sebanyak 2.5%.

4. Boleh dibayar dengan wang atau barang.

5. Dikenakan kepada perdagangan mahupun individu.


Rumus Pengiraan:


(Modal diputar + Keuntungan + piutang yang dapat dicairkan) - (hutang + kerugian) x 2.5 %


Contoh:

Harta perniagaan sama ada dalam bidang perdagangan, industri , pertanian, ataupun perkhidmatan, dijalankan secara individu mahupun institusi(seperti Yayasan , Koperasi) nishabnya adalah 20 dinar (setara dengan 85 gram emas) . Jika suatu organisasi pada akhir tahun memiliki kekayaan (modal kerja dan untung) lebih besar atau setara dengan 85 gram emas (andaian jika per gram RM150, RM12,750), maka ia wajib mengeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

Pada badan usaha yang berbentuk syirkah (kerjasama), maka jika semua anggota syirkah beragama Islam, zakat dikeluarkan terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada pihak-pihak yang bersyirkah. Tetapi jika anggota syirkah terdapat orang yang bukan Islam, maka zakat hanya dikeluarkan dari anggota syirkah muslim saja (apabila jumlahnya lebih dari nisab).


Cara Menghitung Zakat:

Kekayaan yang dimiliki badan usaha tidak akan lepas dari salah satu atau lebih dari tiga bentuk di bawah ini :

1 . Kekayaan dalam bentuk barangan

2 . wang tunai

3 . piutang

Contoh sebuah perusahaan pakaian pada tutup akaun pada Januari tahun 2010:

Baju, seluar aksesori yang belum terjual : RM 25,000,000
Wang tunai : RM 35.000.000
Piutang : RM 10,000,000
Jumlah : RM 70.000.000
Hutang & Cukai : (RM 10,000,000)
Baki : RM 60,000,000
Zakat = 2.5% x RM 60,000,000 = RM 1,500,000

Pada harta perniagaan, modal pelaburan yang berupa tanah dan bangunan dan lain-lain, tidak termasuk harta yang wajib dizakat sebab termasuk kedalam kategori barang tetap (tidak berkembang). Untuk usaha yang bergerak dibidang perkhidmatan, seperti perhotelan, perkhidmatan sewa kereta dan lain-lain, boleh dikeluarkan zakat dengan cara:

I. Pada perhitungan akhir tahun (tutup buku), seluruh harta kekayaan syarikat dikira, termasuk barang (harta) pengeluar perkhidmatan, seperti teksi, kapal, hotel, dll, kemudian keluarkan zakatnya 2.5%.

II. Pada Perhitungan akhir tahun (tutup buku), hanya dikira dari hasil bersih yang diperoleh usaha tersebut selama satu tahun, kemudian zakat dikeluarkan 10%. Hal ini diqiyaskan dengan perhitungan zakat hasil pertanian, dimana perhitungan zakat hanya didasarkan pada hasil pertaniannya, tidak dikira harga tanahnya.


SAHAM DAN BON

Pada hakikatnya baik saham dan bon (juga sijil Bank) merupakan suatu bentuk simpanan harta yang berpotensi berkembang. Oleh karenannya masuk ke dalam kategori harta yang wajib dizakati, apabila telah mencapai nishabnya. Zakatnya sebanyak 2.5% dari nilai terkumpul sebenar bukan nilai muka yang tertulis pada saham atau bon tersebut, dan zakat itu dibayar setiap tahun. Contoh: Puan Salamah mempunyai 500,000 lot saham MRT, harga muka RM5/Lot. Pada akhir tahun buku setiap lot mendapat dividen RM0.30.

Total jumlah harta (saham) = 500,000 x RM5.30 = RM2,650,000
Zakat = 2.5 % x RM2,650,000 = RM66,250

Kesimpulannya aset perniagaan sebagaimana yang disebut oleh para ulama fiqh adalah aset yang diperuntukkan untuk jual beli, mencari keuntungan seperti peralatan, perabot, pakaian, makanan, perhiasan, permata, haiwan, tanaman, bangunan dan sebagainya. Terdapat dua unsur perdagangan secara bersamaan, iaitu jual beli dan niat berdagang. Jika ada salah satu unsurnya tidak ada, maka tidak disebut perdagangan, sehingga tidak wajib zakat. Seperti jika seseorang membeli sesuatu untuk penggunaan peribadi, atau ia berniat untuk berdagang tetapi belum membeli barang, atau menjualnya, maka belum disebut peniaga.

Jika telah mencapai satu nishab , artinya nilai harta perniagaan itu telah mencapai nishab wang pada akhir tahun menurut Imam Malik dan Asy Syafi'i iaitu bersamaan dengan 85 gram emas tau 595 gram perak . Maka dia wajib mengeluarkan zakat dari harta / aset tersebut . Dan adapun qadar zakat yang wajib dikeluarkan olehnya adalah sebanyak 2.5 % .

Penyusun makalah ini manusia biasa banyak kelemahan dan kekhilafan. Maka dari itu penyusun menyarankan pada pembaca yang untuk mendalami masalah zakat, setelah membaca makalah ini untuk membaca sumber lain yang lebih lengkap kerana makalah ini hanya sebagai pemandu anda untuk boleh mengetahui zakat dari segi perniagaan saja. Dan marilah kita realisasikan zakat dalam kehidupan sehari-hari yang merupakan kewajipan umat muslim dengan penuh rasa ikhlas.

 


Rujukan:

• Asnaf, Lembaga Zakat Selanor, Terbitan 1/2006.

• Ahmad Hidayat Buang, ‘Koperasi Secara Islam Dalam Kerangka Perundangan Malaysia’, (2004). Jurnal Syariah. 1-24.

• Ismail Yusuf dan Wan Nasyarudin Wan Abdullah, ‘Zakat Perniagaan yang Diikhtilafkan oleh Fuqaha dan Kesannya Apabila dilaksanakan’ dalam Abdul Ghafar Ismail dan Hailani Muji Tahir. (2006). Zakat Pensyariatan, Perekonomian dan Perundangan, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

• Mohd Daud Bakar. (Julai 1997), ‘Aspek-aspek Pembiayaan Projek dalam Amalan Perbankan Islam’ Jurnal Syariah, Jilid 5, Bil 2, Kuala Lumpur. Universiti Malaya.

• Sanep Ahmad, “Zakat Perkongsian : Ke atas Entiti Syarikat atau Individu’ dalam Abdul Ghafar Ismail dan Hailani Muji Tahir. (2006) Zakat Pensyariatan, Perekonomian dan Perundangan, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

• Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa, ‘Kajian Perbandingan Syarat-Syarat Penaksiran Zakat Perniagaan Malaysia Dengan FAS 9 AAOIFI’, dalam Abdul Ghafar Ismail dan Hailani Muji Tahir. (2006) Zakat Pensyariatan, Perekonomian dan Perundangan, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment